Selasa, 31 Mei 2016

SEJARAH DAERAH PETALING

LATAR BELAKANG DAERAH PETALING




           Daerah Petaling terletak di tengah-tengah Lembah Klang iaitu bersempadankan Daerah Hulu Selangor di bahagaian Utara, Daerah Klang di bahagian Barat, Daerah Gombak dibahagian Timur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bahagian Tenggara, serta Daerah sepang dan daerah Hulu Langat di bahagian Selatan.

           Daerah Petaling juga merupakan sebuah daerah yang termaju di Negeri Selangor. Daerah Petaling ini ditubuhkan pada 1 Februari 1974. Daerah ini terletak di tengah-tengah Lembah Klang. Pada 20 Jun 2006, Petaling Jaya telah diisytiharkan status Bandaraya.

           Daerah Petaling mempunyai keluasan kawasan  sejumlah 484.32 km². Petaling Jaya yang merupakan bandar utama mempunyai keluasan kawasan 97.2 km² dan merupakan Bandar terbesar di antara bandar-bandar di Negeri Selangor. Menurut banci 2005, penduduk Daerah Petaling ialah 1,418,700 orang dengan kepadatan 2929.3/km².

          Menurut cerita, pada masa lalu terdapat banyak pokok 'petaling' di kawasan ini. Oleh kerana banyaknya pokok petaling yang tumbuh, maka tempat itu pun dinamakan Petaling. Walau bagaimanapun, pada masa kini pokok petaling ini sudah pupus dan sukar didapati lagi.

          Petempatan di Daerah Petaling bermula sebagai kawasan perlombongan bijih timah. Peneroka-peneroka awal mendapati kawasan ini mempunyai prospek unutk berkembang walaupun pada masa itu kawasan ini masih dipenuhi hutan belantara. Kawasan Petaling di mana aktiviti perlombongan bijih timah ini di jalankan dikenali sebagai Petaling Tin yang meliputi kawasan-kawasan seperti Sungai Way, Subang Jaya dan Puchong.

          Perkembangan aktiviti perlombongan bijih timah ini telah menarik perhatian banyak pedagang yang berdagang keperluan asas kepada pelombong-pelombong bijih ini. Para pedagang pun mula membina kedai-kedai mereka di Kuala Sungai klang dan Sungai Gombak. Perkembangan aktiviti perlombongan telah memberikan impak yang besar kepada pertumbuhan dan pembangunan Daerah Petaling.

          Pada 1 Februari 1972, Kuala Lumpur yang pada mulanya merupakan ibu negeri Selangor telah dipisahkan dari Selangor dan bandar ini kemudiannya membentuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kesan daripada pemisahan ini,  Daerah Petaling merangkumi kawasan-kawasan yang disusun semula seperti berikut:

Sebahagian Mukim Bukit Raja  - Peralihan daripada Daerah Klang.
Sebahagian Mukim Damansara  - Peralihan daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

         Pada masa kini, daerah ini telah berkembang dengan begitu pesat sekali dan keadaan ini menyebabkan pentadbiran dan pemantauan keperluan awam di daerah ini telah dibahagi dan diagihkan kepada 3 kawasan Majlis Perbandaran, masing-masing ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).